Syarikat automotif dari China, Dongfeng, merancang untuk memulakan pemasangan kenderaan secara tempatan atau CKD di Malaysia seawal tahun ini. Langkah itu menandakan peralihan daripada sekadar mengimport kenderaan kepada penghasilan di dalam negara, satu perkembangan yang dijangka memberi kesan kepada industri automotif tempatan.
Perkembangan itu diumumkan pada Kuala Lumpur International Mobility Show atau CLAIMS 2026, yang turut menyaksikan syarikat berkenaan menampilkan barisan model elektrifikasi terbarunya kepada pengguna tempatan. Pameran itu diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia atau MITEC di Kuala Lumpur.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Vogue Auto Malaysia, Soming, berkata Malaysia dipilih berikutan pertumbuhan pasaran yang memberangsangkan serta ekosistem automotif yang sudah matang. Menurutnya, faktor itu menjadikan negara ini lokasi yang sesuai untuk pelaburan jangka panjang syarikat.
Pada CLAIMS 2026, Dongfeng Malaysia menampilkan tiga model elektrifikasi yang kini ditawarkan di pasaran tempatan, iaitu Dongfeng Box, Dongfeng 007 dan Dongfeng Vigo. Selain itu, syarikat turut merancang membawa masuk MPV premium Voyager Dream serta dua model SUV elektrifikasi ke pasaran Malaysia.
Selain pembangunan pemasangan tempatan, Dongfeng turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keyakinan pelanggan menerusi pengukuhan rangkaian selepas jualan di seluruh negara, bagi memastikan sokongan berterusan kepada pemilik kenderaan.
Soming turut melihat Malaysia berpotensi memainkan peranan strategik sebagai hab pengeluaran dan eksport bagi pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan di rantau ini pada masa depan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan automotif serantau.
