Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) akan memohon peruntukan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas penubuhan pejabat satelit Jabatan Bantuan Guaman (JBG) ke kawasan luar bandar di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penubuhan itu penting bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, mendapat akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan bantuan guaman.
Menurutnya, JBG juga dapat membantu rakyat mengetahui hak yang dijamin oleh undang-undang, seterusnya membolehkan orang ramai mendapatkan pelindungan dan bantuan perundangan apabila berdepan dengan masalah berkaitan.
Azalina, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata perkhidmatan itu akan dikukuhkan lagi menerusi penggunaan van bergerak JBG melalui program Justice on Wheels (JOW), yang boleh memasuki kawasan kampung dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membawa perkhidmatan bantuan guaman terus kepada rakyat, tanpa menunggu mereka hadir sendiri ke pejabat JBG yang sedia ada.
Azalina menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan pejabat satelit JBG di Mahkamah Pengerang, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Sabtu. Penubuhan pejabat satelit di lokasi itu dilihat sebagai langkah awal memperluas rangkaian perkhidmatan bantuan guaman ke kawasan yang selama ini kurang akses.
