Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat seorang bayi di hadapan sebuah pusat perlindungan bayi di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Syamsuddin Mahmud, berkata kedua-dua wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan susulan laporan yang diterima pihak polis pada jam 8.10 pagi hari berkenaan.
Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian bayi itu adalah disebabkan keguguran, dan dianggarkan bayi tersebut telah meninggal dunia melebihi 24 jam sebelum ditemukan.
Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis menahan kedua-dua suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, selain turut merampas beberapa barang kes bagi tujuan siasatan.
Syamsuddin berkata suspek pertama direman selama dua hari manakala suspek kedua direman selama tiga hari, bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.
