Jabatan Imigresen Malaysia telah menahan 31 majikan yang disyaki menggaji atau melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen, dalam satu siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di pelbagai lokasi tumpuan.
Ketua Pengarah Imigresen, Dato' Zakaria Sya'aban, berkata mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.
Menurut beliau, sepanjang operasi tersebut, seramai 1,494 individu yang melibatkan warga tempatan dan warga asing telah diperiksa oleh pihak penguatkuasa.
Empat negeri mencatat jumlah operasi tertinggi, iaitu Johor dengan 52 operasi, diikuti Perak dengan 36 operasi, Kedah 25 operasi dan Putrajaya 22 operasi.
Zakaria berkata operasi itu memberi tumpuan kepada pematuhan syarat pas oleh warga asing, bagi memastikan tiada penyalahgunaan pas ataupun sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan mematuhi syarat pas boleh menyebabkan pas tersebut dibatalkan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menguatkuasakan undang-undang imigresen negara.
