Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung satu kes membabitkan seorang murid tahun 6 di Perlis yang mengalami kecederaan serius selepas didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya.
Murid perempuan berusia 12 tahun itu disahkan berdepan gangguan stres pasca trauma atau PTSD, yang didakwa berpunca daripada perbuatan buli yang dilakukan rakan sekolahnya. Keadaan murid berkenaan menjadi tumpuan selepas ia dilaporkan media.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata perkara itu sudah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Beliau menegaskan tiada lagi kompromi terhadap sebarang kes buli di sekolah dan tindakan sewajarnya akan diambil selepas siasatan dijalankan.
Bagi memastikan keselamatan murid dan guru terjamin, kementerian menguatkuasakan dua instrumen baharu di seluruh negara, iaitu garis panduan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid. Kedua-dua dokumen itu perlu menjadi rujukan semua institusi pendidikan di bawah kementerian.
Fadhlina turut mengarahkan pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri supaya mengambil tindakan tegas dan segera sebaik sahaja menerima aduan salah laku, khususnya yang membabitkan gangguan seksual terhadap murid.
Beliau menekankan bahawa kes sedemikian tidak boleh dipandang ringan atau dibiarkan sehingga menjadi tular terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. Kenyataan itu dibuat ketika mengulas dakwaan berkaitan satu kes membabitkan seorang guru dan murid di Sarawak yang hanya ditangani selepas tular di media sosial.
Menteri itu turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai gangguan seksual terhadap kanak-kanak supaya membuat laporan terus kepada pihak berkuasa, dan tidak sekadar menyebarkannya menerusi media sosial.
