Kepercayaan rakyat Malaysia terhadap berita secara keseluruhan merosot kepada 30 peratus pada 2026. Angka itu lebih rendah berbanding 37 peratus yang dicatatkan dua tahun sebelumnya dan jauh di bawah kemuncak 41 peratus yang direkodkan pada 2021.
Menurut laporan berkenaan, kebanyakan rakyat Malaysia kini mendapatkan berita melalui platform dalam talian. Sebanyak 84 peratus daripada mereka memperoleh berita menerusi media sosial.
Sebaliknya, penggunaan media tradisional menunjukkan tren penurunan yang berterusan. Kadar penggunaan televisyen bagi tujuan berita susut kepada 36 peratus berbanding 54 peratus pada 2017.
Penurunan turut ketara dalam kalangan pembaca akhbar cetak. Penggunaannya merosot kepada 14 peratus daripada 45 peratus dalam tempoh yang sama.
Selain itu, sebanyak 14 peratus rakyat Malaysia kini mendapatkan maklumat daripada pempengaruh dan pencipta kandungan. Golongan ini memfokuskan kepada isu semasa serta politik.
Pada masa sama, industri media negara sedang melalui fasa transformasi penting. Ini berikutan penubuhan Majlis Media Malaysia pada 2025, yang dilihat sebagai langkah ke arah kawal selia kendiri industri buat kali pertama dalam beberapa dekad, di samping kebimbangan terhadap pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mula berkuat kuasa pada Januari lalu.
Laporan Berita Digital 2026 turut merekodkan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar dunia. Negara berada di kedudukan ke-95 daripada 180 negara dengan skor 52.73.
