Malaysia meneruskan usaha memperkukuh kerangka keselamatan dalam talian dengan mewajibkan mekanisme pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial. Menerusi obligasi di bawah Akta 866, penyedia perkhidmatan berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial kini dikehendaki memastikan hanya pengguna yang memenuhi had umur minimum yang ditetapkan dibenarkan mendaftar, satu langkah yang memberi tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak.
Rangka kerja ini berpaksikan Kod Perlindungan Kanak-Kanak atau Child Protection Code (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko atau Risk Mitigation Code (RMC), yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 22 Mei 2026 dan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026. Kedua-dua kod ini digubal bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan terpakai kepada pemberi perkhidmatan berlesen di bawah Akta 866.
Di bawah CPC, penyedia perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum penggunaan media sosial. Pengguna yang berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun, manakala kanak-kanak di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun sehingga mencapai umur minimum yang ditetapkan.
Mekanisme pengesahan umur itu hendaklah dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan atau diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf. Kod tersebut turut membenarkan penggunaan dokumen atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berwibawa di bidang kuasa lain, bagi memastikan perlindungan dalam talian diberikan secara saksama kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status dokumentasi mereka.
Selain kod-kod tersebut, dua lagi peraturan subsidiari telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2026, iaitu Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pengkompaunan Kesalahan) 2026 dan Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pelan Keselamatan Dalam Talian) 2026. Sebelum itu, peruntukan berkaitan pemeliharaan dan penyimpanan data komunikasi bagi tujuan penyiasatan di bawah Akta 866 telah berkuat kuasa pada 30 Januari 2026.
Bagi melengkapkan keseluruhan kerangka kawal selia, MCMC dilaporkan sedang mengadakan rundingan awam atau public consultation untuk membangunkan instrumen subsidiari terakhir, iaitu peraturan yang berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi. Proses rundingan itu dijadualkan berakhir pada 20 Julai tahun ini sebelum peraturan berkenaan dimuktamadkan dan seterusnya dikuatkuasakan.
Kesemua perundangan subsidiari, kod dan garis panduan ini digubal bagi memperincikan kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan berlesen, di samping memberikan panduan yang jelas mengenai tanggungjawab statutori mereka. Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh keselamatan dalam talian melalui pendekatan yang menyeluruh, berstruktur dan berasaskan risiko, dengan MCMC sebagai regulator yang memastikan pelaksanaannya, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ekosistem digital negara.
